Followers

Saturday, May 26, 2012

PERKHIDMATAN AWAM


 Definisi Perkhidmatan Awam
Minimize

Perkhidmatan Awam ditafsirkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara (132) ialah :
  • Perkhidmatan Awam Persekutuan
  • Perkhidmatan Badan Berkanun
  • Angkatan Tentera Malaysia
  • Polis Diraja Malaysia
  • Perkhidmatan Pendidikan
Definisi Agensi
Agensi Sektor Awam terbahagi kepada 5 jenis perkhidmatan.
PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN DAN NEGERI (PAP &PAN)
KEMENTERIAN
Mengikut Pekeliling Am Bil.2/82 : 

  • Kementerian adalah organisasi yang diwujudkan untuk menggubal dasar, merancangkan program-program dan melaksanakannya di bawah arahan dasar seorang Menteri; 
  • Ibu pejabat Kementerian mengandungi pejabat menteri yang dianggotai oleh Menteri (termasuk Timbalan-timbalannya dan Setiausaha Parlimen), Ketua Setiausaha dan ketua-ketua agensi di bawahnya;
  • Agensi-agensi pelaksana adalah termasuk jabatan-jabatan dan badan-badan berkanun di bawah kementerian;
  • Ketua Setiausaha Kementerian ialah eksekutif utama yang mempunyai kuasa pegawai pengawal dan perakaunan di atas agensi-agensi pelaksana kementerian.

Kementerian terbahagi kepada dua jenis
  • Kementerian Bersepadu
Kementerian Bersepadu ialah kementerian di mana unit / bahagian yang tidak mempunyai kuasa tersendiri dari segi urusan pentadbiran, kewangan dan ketua unit / bahagian itu tidak menjadi pegawai pengawal di dalam urusan kewangan.  Fungsi-fungsi tersebut adalah dipusatkan di bawah Ketua Setiausaha Kementerian itu. Unit / bahagian tersebut ada yang dipanggil unit, bahagian, biro dan ketua jabatannya dipanggil Pengarah, Ketua Pengarah dan lain-lain. Contoh Kementerian Bersepadu ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan.

  • Kementerian Tidak Bersepadu
Kementerian Tidak Bersepadu ialah kementerian yang salah satu unit / bahagiannya menjalankan fungsi-fungsi bersendiri dari segi urusan pentadbiran, kewangan dan kakitangan dan ketua unit / bahagian itu adalah menjadi pegawai pengawal dalam urusan kewangannya.  Oleh yang demikian, unit /  bahagian tersebut mempunyai kumpulan kakitangan yang tertentu untuk  menjalankan fungsi-fungsi tersebut.  Sungguhpun begitu, tanggungjawab secara amnya dalam fungsi-fungsi tersebut adalah terletak di bawah Ketua Setiausaha Kementerian.  Unit / bahagian tersebut adalah yang dipanggil unit, bahagian, biro dan jabatan dan ketuanya adalah dipanggil Pengarah, Ketua Pengarah dan lain-lain.  Pada lazimnya unit / bahagian yang besar-besar dipanggil jabatan. Contoh Kementerian Tidak Bersepadu ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri.
 
JABATAN

            Dari segi susunan pentadbiran, jabatan adalah merupakan agensi pelaksana bagi sebuah kementerian atau pentadbiran negeri.  Tugas jabatan adalah tertakluk di bawah objektif dan dasar kementerian atau pentadbiran negeri, di mana ia diletakkan. Ia tertakluk kepada peraturan-peraturan dan arahan-arahan daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Setiausaha Kerajaan Negeri.  Di samping itu, jabatan juga mempunyai akta dan ordinan yang perlu dikuatkuasakan. Di dalam melaksanakan akta dan ordinan untuk kes-kes tertentu, jabatan dikehendaki merujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian atau / dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan keputusan. 
BADAN BERKANUN PERSEKUTUAN DAN NEGERI (BBP & BBN)
Perbadanan-perbadanan awam (public corporations) atau agensi-agensi separa Kerajaan (semi-government agencies) adalah ditubuhkan di bawah undang-undang, sama ada diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.  Misalnya, Perbadanan Pembangunan Bandar ialah sebuah Badan Berkanun Persekutuan dan Perbadanan Ekonomi Negeri ialah sebuah Badan Berkanun Negeri.
Tujuan ditubuhkan perbadanan awam dapat dilihat dari dua segi:
  • untuk membolehkan kerajaan melibatkan dengan secara terus di dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi negara dan di dalam kegiatan di mana sektor swasta enggan menceburi kerana kurang menguntungkan atau memerlukan modal yang besar.  Dengan cara penglibatan secara ini, pembangunan yang lebih pesat, teratur dan adil dapat dipastikan oleh Kerajaan.
  • Tujuan yang hendak dicapai oleh Kerajaan itu lebih sesuai dijalankan oleh perbadanan awam daripada sebuah jabatan, oleh kerana perbadanan awam adalah lebih bebas daripada peraturan-peraturan pentadbiran Kerajaan yang biasa dan oleh itu, dapat bergerak dengan lebih pantas seperti syarikat sektor swasta.   Perbadanan ini terbahagi kepada dua jenis :
(i)              Badan-Badan Berkanun
Badan-badan Berkanun adalah sebuah agensi separa Kerajaan yang ditubuhkan di bawah peruntukan sesebuah Akta Parlimen atau Enakmen Dewan Undangan Negeri.  Tujuan penubuhan Badan-badan Berkanun ialah untuk memberikan kebebasan yang lebih luas untuk bergerak dan mengendalikan program daripada yang dikendalikan oleh jabatan-jabatan Kerajaan yang biasa.  Badan-badan Berkanun seperti ini mengambil kuasa daripada akta / enakmen berkenaan dan mempunyai badan pengurus yang tersendiri yang digelar Lembaga, Majlis atau lain-lain.  Contoh Badan-badan Berkanun ini bagi peringkat Persekutuan ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Pusat Daya Pengeluaran Negara (PDPN) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) bagi Badan-badan Berkanun Persekutuan.  Bagi peringkat negeri terdapat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dan Lembaga Bekalan Air Negeri.  Ada di antara Badan-badan Berkanun ini dipanggil perbadanan awam (public corporations) seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-negeri (PKEN), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia (PKPM)
(ii )           Badan-Badan Tidak Berkanun
Badan-badan Tidak Berkanun ialah syarikat-syarikat Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat-syarikat 1965 (Akta 125).  Badan-badan ini adalah bersifat dan bergerak sebagai syarikat perniagaan yang biasa, hanya dari segi hak milik sahaja dipunyai oleh Kerajaan.  Syarikat ini seperti juga syarikat perniagaan boleh juga menubuhkan anak syarikat.  Sekiranya ini berlaku, syarikat-syarikat tadi dipanggil Syarikat Induk (Holding Company) misalnya Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan anak-anak syarikatnya seperti Pernas Properties Sdn.Bhd. , Pernas Trading Sdn. Bhd. Dan Pernas Edar Sdn. Bhd.
PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / Penguasa-penguasa tempatan adalah dikenali sebagai majlis perbandaran atau majlis daerah.  Ia ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu sebuah kanun yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan tetapi diambil pakai oleh Kerajaan-kerajaan Negeri.  Sistem PBT ini juga dikenali sebagai kerajaan tempatan.  Majlis perbandaran biasanya ditubuhkan bagi kawasan bandar yang besar seperti Majlis Perbandaran Petaling Jaya (Selangor).  Majis daerah ditubuhkan bagi kawasan-kawasan bandar kecil dan di luar bandar seperti Majlis Daerah Kuala Kangsar (Perak) dan Majlis Daerah Muar (Johor).   Majlis perbandaran yang telah diberi taraf bandaraya dipanggil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Sektor Agensi
Agensi Sektor Awam juga dikategorikan kepada 4 sektor utama bergantung kepada fungsi agensi tersebut.Pecahan sektor adalah berpandukan penentuan oleh Kementerian Kewangan berdasarkan bajet.
SEKTOR PENTADBIRAN
Sektor Pentadbiran adalah merangkumi agensi yang melaksanakan pentadbiran am termasuk sebahagian besar Perkhidmatan Awam Negeri dan Badan Berkanun Negeri. Contoh agensi di bawah sektor pentadbiran antaranya seperti Jabatan Pedana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi-agensi Negeri Sabah dan Sarawak.
SEKTOR KESELAMATAN
Sektor Keselamatan terdiri dari agensi yang menjalankan aktiviti pertahanan negara dan mengawal keselamatan awam. Contoh agensi antaranya seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
SEKTOR EKONOMI
Sektor Ekonomi adalah merangkumi subsektor pertanian dan pembangunan luar bandar, kemudahan awam, perdagangan dan perindustrian, pengangkutan dan perhubungan serta lain-lain agensi yang dapat menyumbang kepada hasil negara dan pertumbuhan ekonomi negara. Contoh agensi antaranya seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI).
SEKTOR SOSIAL
Sektor Sosial adalah merangkumi subsektor Pendidikan, Kesihatan, Perumahan  dan lain-lain agensi yang melaksanakan aktiviti meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dari segi pendidikan, kesihatan dan perumahan. Contoh agensi antaranya seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

No comments:

Post a Comment