Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik
tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam
akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk
membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti
utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.
Kualiti-kualiti pelajar
cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Amanah
Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas
dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak
menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia juga sedar bahawa
segala perbuatannya adalah sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T./ Tuhan yang
maha Esa.
Bijak
Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan
masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan
sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang
ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia
cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.
Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal,
minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan
jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan
hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin,
sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam
aktiviti-aktiviti yang diceburinya.
Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta
komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga
tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan
melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus
dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik.
Elok
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri,
tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang
didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar
bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup
juga tidak diberkati Tuhan.
Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang
lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta
tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain
termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.
Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada
bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir,
menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas.
Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar
memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.
Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan
penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga
pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.
Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati
kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya.
Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya itu memberikan suntikan
motivasi kepadanya berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan
dalam kehidupannya.
Iman
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah
S.W.T./Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu
mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ia juga
mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta
segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.
BAGAIMANA MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses
mengulangkaji adalah:
1.
Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil
melengkapkan yang kurang. Ini akan
memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
2.
Membaca buku teks.
Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta
yang dimuatkan.
3.
Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru
berikan. Ini akan membolehkan anda
menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
4.
Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas
bersama skima jawapan. Ini akan
membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan
lebih yakin dan pantas.
5.
Menjawab soalan-soalan yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda
sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa
peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan
yakin.
6.
Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda
sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama,
anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang
faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.
Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa
yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu
berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan
selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana
anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan.
Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat
mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang
itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat
terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses
mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji
pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali
sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.
Merancang Program Mengulangkaji
•
Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata
pelajaran. Jadualkan juga masa berehat
untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah
berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
•
Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint"
(bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
•
Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang
diperlukan.
•
Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran .
•
Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.
•
Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
•
Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang
lepas mengikut waktu yang telah
ditetapkan.
•
Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
•
Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan
oleh guru atau pensyarah anda.
Pembahagian Mata Pelajaran Dalam
Mengulangkaji
Mata Pelajaran Yang Anda Lemah
•
Cuba sedaya upaya
kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
•
Banyakkan bertanya
kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
•
Jangan ambil mudah
walaupun anda fikir sudah menguasainya.
•
Beri masa yang
secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
•
Bila hampir hari
peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab
soalan-soalan peperiksaan.
Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh
menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam
peperiksaan.
1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan
satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab
soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian /
peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap
mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda
boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang
sebenar dengan jayanya.
2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan
menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh
jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah
kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.
3. Penilaian Secara Lisan
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta
beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.
Mengatasi Kelemahan
Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai
menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak
setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses
mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan
ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.
Sebab-sebab kesalahan berlaku:
Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda
ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji
apa yang telah anda pelajari.
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.
Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.
Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:
•
Segera / selalu
bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
•
Mendapatkan
jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
•
Mengulangkaji dan
membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
No comments:
Post a Comment